Selasa, 15 Mac 2011

Abai suami sendiri, rindu suami orang


Kenapa selalu FB jadi puncanya???


Abai suami sendiri, rindu suami orang


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAYA sebenarnya isteri bertuah tetapi tidak tahu menghargainya. Saya berkahwin hampir tujuh tahun lalu dan mempunyai dua anak.

Suami saya baik, penyayang dan sangat mencintai saya, baik dengan anak, tidak pernah tinggal solat, malah boleh saya katakan dia memiliki ciri-ciri suami yang susah dicari pada zaman ini.

Pada saat kawan lain merungut dan kecewa dengan sikap suami masing-masing yang bermata keranjang, panas baran dan pelbagai sifat negatif lain, saya hanya tersenyum dan bertuah kerana suami tidak bersikap sebegitu.

Segala-galanya berubah apabila saya menghubungi kenalan pada zaman sekolah yang saya panggil Z melalui facebook (FB). Pada awalnya, saya cuma ingin bertanya khabar tetapi semakin lama semakin melarat.


Betul kata seorang ustaz, bila umpan syaitan sudah mengena, yang haram dianggap halal. Daripada berhubung melalui mesej di FB, hubungan kami melarat melalui telefon dan sesekali bila ada peluang, kami berjumpa di luar.


Saya tidak segan lagi mengucapkan perkataan rindu, sayang dan ingin hidup bersamanya. Biasanya kami berhubungan pada tengah malam ketika orang lain tidur. Saya sering memberi alasan kepada suami yang saya lambat tidur untuk menyiapkan kerja pejabat.

Saya mula mengabaikan keperluan batin suami. Saya benar-benar bahagia. Dalam sehari, tujuh hingga lapan kali saya menghubungi Z kerana merinduinya. Saya juga rela menghabiskan wang untuk membayar bil telefon kerana biasanya kami bergayut lama setiap kali ada peluang.

Hubungan ini akhirnya dapat dikesan isterinya. Walaupun isterinya merayu supaya tidak mengganggu suaminya, saya tetap teruskan hubungan ini.
Photobucket
Akhirnya perkara ini sampai juga ke pengetahuan suami saya. Ketika membasuh kereta saya, suami terjumpa sampul surat mengandungi foto Z dan surat cintanya. Suami saya hampir pengsan apabila membaca surat berkenaan.

Dia langsung tidak menyangka saya tergamak berbuat begitu padanya. Malah, suami tidak boleh menerima kenyataan saya sanggup memusnahkan rumah tangga orang lain.

Sejak itu, saya benar-benar insaf. Sikap suami terhadap saya mula berubah walaupun sikapnya dengan anak masih sama. Saya juga tidak lagi menghubungi Z selepas itu.

Saya juga beberapa kali menangis di depan suami untuk meminta maaf daripadanya. Walaupun mulutnya berkata maaf, saya tahu dalam hatinya dia belum memaafkan saya.

Suami semakin menjauhi saya dan sering tidur bersama-sama anak. Tolonglah saya Dang Setia, saya benar-benar bertaubat.

Saya tidak mahu kehilangan suami. Dia terlalu baik kepada saya. Kepada pembaca lain, jadikan kisah saya sebagai pengajaran. Kini saya merindui senda gurauan suami. Sehingga hari ini saya belum dapat memaafkan diri saya.

SITI
Kelantan



Dang Setia bukan anti teknologi maklumat (IT) termasuk laman sosial seperti FB dan twitter, tapi laman sosial seperti itu terlalu banyak menghancurkan rumah tangga pada zaman serba moden ini.

Ini berlaku kerana kita, sebagai manusia, lalai dan menggunakan kemudahan itu pada jalan salah. Laman sosial itu ada juga kebaikannya seperti membantu mengesan semula teman lama, sekali gus merapatkan silaturahim di antara umat Islam, terutama sesama jantina.

Namun apabila disalah guna, kemudahan itu boleh menjadi racun. Sebagai contoh, percubaan mengesan semula kekasih lama atau 'teman tapi mesra' sedangkan kita sudah bersuami atau beristeri. Itu namanya mencari pasal.

Apa lagi jika FB dijadikan wadah untuk meluahkan perasaan, terutama masalah rumah tangga. Lama-kelamaan, tidak mustahil si lelaki atau si wanita terpikat sesama sendiri kerana kesudian menjadi pendengar setia, atau bijak memberi pendapat.

Apapun, mujur puan menyedari kesilapan besar puan, itupun selepas 'tertangkap' dengan suami yang terjumpa surat cinta Z ketika membasuh kereta puan.

Tanyalah lelaki mana sekalipun, 'luka' itu sangat pedih dan dalam. Isteri yang selama ini dijunjung tinggi, nampak baik dan sopan di depan mata, rupa-rupanya bercinta dengan suami orang di belakang.

Luka yang dalam tidak akan sembuh sehari dua, sebaliknya mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya. Begitu juga hati suami yang lazimnya keras, apatah lagi tertipu dengan lakonan isteri.

Apa yang boleh puan lakukan sekarang adalah perlahan-lahan cuba mengambil hatinya semula. Kembali kepada perwatakan asal puan, jadi isteri terbaik untuk suami dan ibu terbaik untuk anak.

Pada masa sama, perbanyakkan solat taubat dan hajat, memohon kepada Allah untuk kembali membuka hati suami supaya menerima puan seperti sedia kala.

Insya-Allah, jika suami yakin puan benar-benar berubah, dia akan menerima semula puan seperti dulu, apatah lagi jika cintanya terhadap puan masih utuh.


Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Abaisuamisendiri_rindusuamiorang/Article



Tiada ulasan: