Jumaat, 7 Januari 2011

Caruman KWSP Tidak Dikira Harta Sepencarian

Timbul persoalan sama ada wang simpanan yang ada di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah harta milik peribadi pencarum atau sebagai harta sepencarian yang boleh dituntut oleh satu pihak lagi, bekas isteri mahupun bekas suami.

PhotobucketHarta berupa caruman wang KWSP si mati tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian melalui sumbangan secara tidak langsung jika dirujuk kepada konsep asalnya. Sebaliknya, ia menjadi harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Dengan itu, KWSP adalah harta milik peribadi pencarum dan hanya pencarum yang mempunyai hak mutlak ke atas wang itu.

Melihat kepada konsep dan kepentingan ini, maka fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-49 pada 10 September 2000, menjelaskan seperti berikut:
• Wang KWSP dan wang simpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid;
• Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati) mengikut hukum faraid;
• Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihatkan KWSP menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Selangor turut mewartakan Hukum Simpanan Wang KWSP pada 9 Mei 2002 bagi ahli beragama Islam yang meninggal dunia. Fatwa itu menjelaskan perkara berikut:
• Wang KWSP yang disimpan ahli dianggap harta pusaka;
• Kaedah pembahagian harta pusaka adalah tertakluk kepada hukum faraid.

Berdasarkan fatwa-fatwa yang dinyatakan di atas, jelaslah bahawa wang simpanan KWSP adalah hak milik mutlak pencarum yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid apabila pencarum meninggal dunia dan bukan harta sepencarian.

Oleh yang demikian, tuntutan yang berkaitan dengan wang simpanan KWSP supaya diisytiharkan sebagai harta sepencarian adalah bercanggah dengan fatwa yang diputuskan di atas. Penolakan ini juga wajar kerana selari dengan Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mentafsirkan seperti berikut: Harta sepencarian™ ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak. Di bawah seksyen sama, hukum syarak diertikan sebagai hukum syarak mengikut Mazhab Shafie iaitu mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali™.

Keputusan fatwa juga menetapkan Bahagian Undang-Undang JAKIM hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Pelantikan penama hanyalah sebagai amalan biasa dalam KWSP mahupun institusi kewangan seperti Tabung Haji dan bank.

Majlis Raja-Raja kali ke-96 pada September 1973 memberi pendapat dikeluarkan sebagai fatwa seperti berikut: “Penama KWSP, wang simpanan pejabat pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.â€

Jelasnya, konsep dan pembahagian harta sepencarian di Malaysia dikanunkan di dalam Enakmen Keluarga Islam negeri-negeri. Mahkamah Syariah negeri-negeri diberi bidang kuasa eksklusif untuk mendengar dan membicarakan tuntutan harta sepencarian bagi mana-mana pasangan orang Islam yang bercerai.


Sumber : Berita Harian
Penulis : Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
http://kailsejengkal.net/forum/index.php?topic=233.0

Tiada ulasan: